Hazrat Abu Hurairah r.a berkata,
“Sekiranya kamu melihat keadaan kami dahulu, sebahagian daripada kami
tidak mempunyai makanan buat beberapa waktu walaupun hanya untuk
menegakkan tulang belakang. Disebabkan kelaparan, kadang-kadang
saya menekan dada ke bumi dan kadang-kadang saya meniarap dengan
meletakkan segala kekuatan ke perut dan kadang-kadang saya mengikat batu
pada perut.”
Pada suatu hari saya duduk di jalan yang
biasa dilalui oleh para sahabat yang besar. Hazrat Abu Bakar r.a telah
lalu. saya mula bertanya sesuatu kepada beliau dengan harapan beliau
akan terus melayan percakapan saya dan terus membawa saya ke rumah. Kemudian seperti biasa beliau akan melayan saya dengan menghidangkan apa-apa makanan yang ada di dalam rumah.
Namun demikian, beliau tidak melakukan seperti itu (mungkin kerana
tidak terlintas di hati beliau atau kerana telah diketahui keadaan di
rumahnya juga yang tidak mempunyai apa-apa).
Selepas itu Hazrat ‘Umar r.a pula yang
lalu. Bersama beliau pun keadaan yang sama telah berlaku. Kemudian
Rasulullah s.a.w yang lalu. Melihatkan saya, Baginda s.a.w pun
tersenyum. Baginda s.a.w telah memahami keadaan dan tujuan saya. Baginda
s.a.w berkata, “Abu Hurairah, ikutlah bersama saya.”
Lalu saya pun terus bersama Baginda
s.a.w. Baginda telah pulang ke rumah. Di dalam rumah terdapat satu
mangkuk susu yang telah dihantarkan kepada Baginda s.a.w. Baginda
bertanya. “Dari manakah susu ini?”
Telah dijawab, “Dari tempat sekian untuk Rasulullah sebagai hadiah.”
Kemudian Baginda s.a.w bersabda, “Abu Hurairah, pergilah panggil ahlussuffah dan bawa mereka ke mari.”
Ahlussuffah dikira sebagai tetamu Islam.
Mereka ialah orang-orang yang tidak mempunyai rumah dan tidak mempunyai
tempat tinggal dan tidak ada pengurusan makanan yang tetap untuk mereka.
Bilangan mereka tidak menentu mengikut masa. Namun, pada masa kisah ini
berlaku jumlah mereka ialah tujuh puluh orang. Menjadi
kebiasaaan Rasulullah s.a.w juga bahawa mereka dipasangkan berdua-dua
atau berempat-empat dan dijadikan tetamu kepada para sahabat yang agak
kaya. Sekiranya terdapat pemberian sedekah dari mana-mana maka
akan dihantar kepada mereka tetapi Baginda s.a.w sendiri tidak akan
menyertai mereka. Sekiranya terdapat pemberian hadiah dari mana-mana
maka Rasulullah sendiri akan bersama mereka.
Rasulullah s.a.w telah memerintah agar
memanggil mereka. Hati saya terasa berat memikirkan jumlah susu itu.
Banyak mana sangat untuk membolehkan saya menjemput mereka semua.
Bagaimana mungkin untuk setiap orang? Sedangkan susu itu tidak mencukupi
untuk satu orang pun. Selepas mereka dijemput, sayalah yang akan
diperintahkan untuk memberi mereka minum. Oleh kerana itu, saya akan menjadi orang terakhir minum dan sudah tentu susu itu tidak akan tinggal sedikit pun. Namun demikian, apakah ada jalan lain selain mentaati Nabi s.a.w?
Saya telah pergi dan menjemput kesemua mereka. Rasulullah s.a.w bersabda, “Nah ambil, berilah mereka minum.”
Saya mengambil mangkuk itu dan
menyerahkan kepada seorang demi seorang daripada mereka dan setiap orang
akan minum sepuas-puasnya kemudian barulah dikembalikan mangkuk itu
kepada saya. Demikianlah saya telah memberi minum kepada mereka semua
dan kesemua mereka telah minum dengan puas.
Kemudian Rasulullah mengambil
mangkuk tadi lalu memegang mangkuk itu dengan tangan Baginda sambil
memandang kepada saya dengan tersenyum. Baginda s.a.w berkata, “Sekarang hanya tinggal kamu dan saya sahaja.”
Saya menjawab, “Begitulah.”
Baginda mengarahkan, “Ambil dan
minumlah.” Saya pun mula minum. Baginda s.a.w mengarah lagi, “Minumlah
lagi.” Saya pun minum lagi. Akhirnya saya berkata kepada Baginda
“Sekarang saya tidak boleh minum lagi.” Selepas itu Rasulullah
menghabiskan susu yang masih tinggal itu.
0 comments :
Post a Comment